fbpx

Pembantu tadbir didakwa seleweng wang bantuan pesakit kusta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURFATIHAH (kanan) didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah wang bantuan yang sepatutnya diserahkan kepada pesakit kusta sebanyak RM6,660 dua tahun lalu. - Foto ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang pembantu tadbir mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah wang bantuan yang sepatutnya diserahkan kepada pesakit kusta sebanyak RM6,660 dua tahun lalu.

Tertuduh, Nurfatihah Rahimi, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan pembantu tadbir pejabat Persatuan Membantu Pesakit Kusta Malaysia (Malra) didakwa telah diamanahkan wang tunai sebanyak RM7,560 untuk diagihkan kepada 37 orang pesakit kusta secara serahan tangan.

Bagaimanapun, tertuduh didakwa hanya menyerahkan sebanyak RM6,600 kepada 33 orang pesakit kusta dan telah menyalahgunakan baki wang yang tidak diagihkan sebanyak RM960 pada bulan Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Nurfatihah dituduh pecah amanah jenayah wang tunai sebanyak RM7,000 untuk bilangan pesakit sama secara serahan tangan, namun hanya mengagihkan sebanyak RM4,600 kepada 23 orang pesakit kusta dengan menyalahgunakan baki wang tidak diagihkan sebanyak RM2,400 pada bulan Januari tahun lalu.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa pecah amanah jenayah wang tunai sebanyak RM7,300 untuk diagihkan kepada bilangan pesakit sama secara serahan tangan, namun hanya mengagihkan sebanyak RM5,600 kepada 28 orang pesakit kusta dengan menyalahgunakan baki wang tidak diagihkan sebanyak RM1,700 pada Februari tahun lalu.

Bagi pertuduhan terakhir, Nurfatihah didakwa pecah amanah jenayah wang tunai sebanyak RM7,000 untuk diagihkan kepada 32 orang pesakit secara serahan tangan, namun hanya mengagihkan sebanyak RM5,400 kepada 27 orang pesakit kusta dengan menyalahgunakan baki wang tidak diagihkan sebanyak RM1,600 pada Mac tahun lalu.

Keempat-empat kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di Pejabat Malra dekat Stadium Sultan Muhammad IV di sini kira-kira pukul 8 hingga 5 petang dalam tempoh empat bulan itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Bazli tidak membenarkan sebarang jaminan ditetapkan kepada Nurfatihah.

Mahkamah juga menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI