fbpx

Pejabat Daerah Mersing arah lambakan sampah dibersihkan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan pantai yang dipenuhi sampah-sarap di Mersing.

MERSING – Jabatan-jabatan kerajaan di Mersing akan mengambil tindakan segera untuk membersihkan isu lambakan sampah seterusnya mengembalikan imej daerah tersebut yang terkenal dengan sektor pelancongan dan potensi-potensi lain.

Pegawai Daerah Mersing, Mohd. Radzi Mohd. Amin berkata, beliau juga mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah ini yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat-tempat awam dipenuhi sampah sarap.

“Saya telah mengarahkan setiap jabatan-jabatan yang berkepentingan untuk bertindak segera bagi mengatasi isu sampah tersebut dan titah Sultan Johor ini juga membuktikan keprihatinan baginda terhadap daerah ini.

“Sikap dan kesedaran dalam kalangan semua pihak perlu ada untuk menjaga kebersihan di daerah ini dengan tidak membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya dan sikap tidak bertanggungjawab ini perlu dibuang sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sejak dilantik sebagai Pegawai Daerah Mersing yang baharu pada 22 November lalu, beliau telah merencanakan pelbagai rancangan untuk memaksimumkan potensi daerah ini termasuk memperkenalkan slogan Mersing Kesayangan Kita dan Amazing Mersing.

Semalam, dalam muat naik di laman Facebook rasmi Sultan Johor bertitah, baginda murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat awam dipenuhi sampah sarap.

Baginda turut bertitah, Mersing yang merupakan sebuah daerah pelancongan bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong dari luar negara, malah kaya dengan keindahan alam semula jadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI