MITSUBISHI Xpander muncul buat pertama kali pada bulan Julai 2017 di Jakarta, Indonesia. Model gabungan crossover dan kenderaan pelbagai guna (MPV) ini berjaya mendapat sambutan yang cukup memberansangkan dalam kalangan pelanggan di negara jiran.
Pada November lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (Mitsubishi Malaysia) secara rasminya telah melancarkan model hangat ini yang akan bersaing secara langsung dengan Perodua Aruz, Toyota Rush, Toyota Avanza dan Honda BR-V.
Penulis ada dijemput oleh Mitsubishi Malaysia untuk memandu uji model ini. Kali ini, destinasi yang kami tuju ialah The Hooton Retreat, Kuala Klawang di Negeri Sembilan.
Perjalanan bermula dari Ibu Pejabat Mitsubishi Malaysia di Seksyen U2, Shah Alam di Selangor ke destinasi itu terbahagi kepada empat jenis laluan iaitu jalan bandar sejauh 8 kilometer (km), lebuh raya (75 km), jalan negeri (45 km) dan jalan offroad (1 km).
Sebelum memulakan perjalanan, saya sebenarnya kagum dengan ciri stereng Xpander ini yang boleh laras tinggi-rendah dan disorong tarik. Saya dimaklumkan bahawa ciri-ciri ini adalah yang pertama dalam kelasnya.
Semasa menyusuri jalan bandar, saya menguji kemampuan bergerak kenderaan dengan berat kasar 1,780 kilogram (kg) terutamanya ketika berhenti di lampu isyarat dan bergerak semula.
Enjin 1.5 liter Mivec DOHC dengan transmisi empat kelajuan automatik itu bergerak dengan lancar tanpa ada rasa ‘lemau’. Tidak terasa hampa dengan output kuasanya.
Panjang Xpander berukuran 4,475 milimeter (mm) dengan lebar 1,750mm tidak mendatangkan masalah untuk dikendalikan semasa mahu mencelah antara kenderaan lain. Ruang pandangan ke hadapan dari kerusi pemandu juga agak luas dan tidak banyak zon titik buta.
Perlu diingatkan bahawa Xpander bukannya sebuah kenderaan prestasi. Semasa di lebuh raya, saya sengaja mengambil peluang untuk cuba menekan pedal minyak untuk menguji kuasa maksimumnya.
Ternyata, jentera ini melebihi jangkaan kerana di atas kertas, catatan kuasa yang dihasilkan ialah 105PS pada 6,000rpm.
Cruise Control yang hadir dengan model ini dapat mengurangkan keletihan pemandu terutamanya ketika menempuh perjalanan jauh.
Ketika melalui jalan negeri selepas keluar lebuh raya LEKAS menghala ke Kuala Klawang. Faktor jalan ini agak mencabar sebenarnya sebab selain jalan satu lorong, penulis perlu melalui Bukit Tangga, selain laluan yang banyak selekoh.
Ada ketikanya penulis perlu memotong kenderaan lain, dengan daya tork 141Nm, Xpander ini mampu melaksanakan tugasan itu dengan mudah.
Kenderaan tinggi sinomin orang nampak tidak sedap untuk kendalian laluan berselekoh. Tetapi tidak untuk model ini kerana sistem suspensi depan menggunakan MacPerson Strut Coil Springs dengan Stabilizer Bar dan Strut Bar. Manakala bahagian belakang menggunakan jenis Torsion Beam.
Boleh ke Xpander masuk ‘offroad’? Jawapannya ya tetapi pada tahap mininum seperti meredah ke kebun.
Kenderaan ini bukan pacuan empat roda yang layak untuk ke Borneo Safari. Lagipun dengan rekaan yang dilihat cantik dan segak itu, siapa sanggup lihat kenderaan mereka calar? Jarak antara badan bawah Xpander dengan tanah adalah setinggi 205mm.
Memandangkan penulis memandu berseorangan perjalanan pergi dan balik, maka tiada peluang untuk merasai pengalaman duduk di barisan kedua dan ketiga semasa Xpander bergerak.
Dari sudut rekaan bahagian dengan konsep unik di mana lampu utama terletak pada bampar memberikan imej nampak lasak walaupun Xpander sinonim dengan kenderaan keluarga dengan tujuh tempat duduk.
Bahagian sisi tidak nampak kosong kerana garisan badan menjalar ke belakang nampak kemas tambahan pula Xpander di Malaysia dengan varian tunggal hadir dengan rim bersaiz 16 inci.
Masuk ke bahagian dalam di barisan belakang, penulis mencari corong penghawa dingin dahulu. Bukan corong sahaja ada tetapi juga butang pelaras kipas.
Kesimpulannya, penulis lihat Mitsubishi Malaysia banyak mendengar kata hati pelanggan mereka di Malaysia yang paling jelas warna tona gelap di bahagian dalam. Sebabnya, kenderaan ini kebanyakan dibeli untuk kegunaan bersama keluarga.
Penggunaan warna terang memang nampak cantik dan luas tetapi rasanya kurang sesuai kerana cepat kotor.
Info Mitsubishi Xpander
Enjin : 1.5 liter Mivec DOHC
Kapasiti enjin : 1,499cc
Transmisi: Empat kelajuan automatik
Kuasa Maksimum : 105PS / 6,000rpm
Tork Maksimum: 141Nm / 4,000rpm
Harga : RM91,368.75 (Insentif potongan jualan PENJANA)