PETALING JAYA – Tular dalam laman sosial hari ini tentang kajian dan pemerhatian yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook bernama Putera Nur Muhammad Raihan selepas mendakwa selebriti popular, Neelofa sebenarnya mempunyai gejala mental yang dipanggil narsistik atau Narcissistic Personality Disorder (NPD).
Menerusi penulisan yang dimuat naik dalam Facebook miliknya, lelaki tersebut memberitahu bahawa dia gemar membuat kajian tentang sifat psikologi seseorang dan mengaku telah menjalankan berpuluh-puluh kajian tentang Neelofa.
“Aku dah sampai pada titik pencarian kajian tentang psikologi seseorang yang aku minat iaitu Neelofa.
“Aku suka karakter Neelofa dan siapa kenal aku, aku suka menulis tentang psikologi manusia,” katanya.
Dalam kajian tersebut, lelaki terbabit memberitahu tahap NPD selebriti tersebut berada pada ‘aras tinggi’ berdasarkan beberapa kenyataan yang pernah Neelofa berikan terhadap media.
Dalam penjelasan kajian yang dimuat naik tersebut, lelaki itu telah menggunakan beberapa contoh kontroversi yang terjadi terhadap Neelofa sebelum ini sehinggalah kepada perkembangan terbaharu membabitkan dirinya dengan pendakwah bebas yang juga bakal suaminya, PU Riz.
“Aku tolak sekeras-kerasnya khabar angin yang bersandar daripada cakap-cakap orang walaupun nampak berasas,” jelasnya mengenai pembentangan teori berkenaan.
Walaupun hantaran yang dibuat oleh lelaki terbabit sangat panjang dan kelihatan meyakinkan, namun apa sahaja yang dijelaskan oleh lelaki tersebut hanyalah teori sahaja dan sukar untuk mengesahkannya.
NPD ialah keadaan seseorang yang menganggap dirinya jauh lebih penting daripada orang lain, memiliki keinginan yang tinggi untuk dipuji atau dibanggakan dan memiliki sifat empati yang rendah terhadap orang lain.
Sementara itu, pengurus Neelofa, Shawn Amer ketika dihubungi Kosmo! untuk mendapatkan kenyataan berhubung perkara tersebut memaklumkan bahawa selebriti itu sama sekali enggan melayan isu remeh berkenaan.
Terdahulu, Neelofa dan PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail sohor dalam Twitter selepas netizen mendakwa hubungan mereka kini dilanda badai.
Bagaimanapun, Neelofa dalam satu kenyataan menerusi video yang dimuat naik pada 27 November lalu memberitahu bahawa setiap hubungan ada cerita-cerita tersendiri dan tidak manis untuknya mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarga.
Bahkan, bekas pengacara MeleTOP itu juga berkata, keluarganya kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian untuk kedua-dua belah pihak. K! ONLINE