HOUSTON, Texas – Seorang wanita Amerika Syarikat yang merupakan pemegang rekod dunia kuku terpanjang mahu menjual kukunya pada harga £35,000 (RM191,177), lapor akhbar Daily Star.
Yani Williams, 54, yang menetap di Houston, Texas mempunyai kuku-kuku jari tangan sepanjang 5.5 meter.
Yani yang juga seorang nenek berkata, dia membuat keputusan itu selepas sukar membuat kerja rumah kerana kukunya terlalu panjang.
“Saya sukar melakukan aktiviti harian seperti memandu kereta, mengancing baju serta seluar dan menyuntik insulin kerana saya kini menghidap diabetes.
“Saya membuat keputusan untuk menjual kuku saya selepas berpisah dengan suami enam tahun lalu kerana tiada sesiapa boleh membantu saya membuat kerja rumah,” katanya.
Selain itu, Yani berkata, dia telah mengiklankan kukunya di laman Facebook dan akan menjualnya kepada individu yang menawarkan harga tinggi.
“Selepas mengiklan di laman Facebook, saya ada menerima beberapa tawaran, namun harga yang mereka tawarkan terlalu rendah.
“Selagi saya tidak mendapat tawaran yang berbaloi, saya tidak akan memotong kuku dan membiarkannya terus tumbuh,” ujarnya.
Tambah Yani, dia mahu mememulakan tahun baharu 2021 dengan berkuku pendek supaya boleh melakukan pelbagai aktiviti tanpa risau kukunya akan patah.
“Saya mahu melakukan rutin dengan lebih pantas dan tanpa ragu-ragu kerana ketika ini, semua perkara yang saya lakukan, saya perlu berhati-hati untuk mengelakkan kuku patah.
“Apabila kuku saya dapat dijual nanti, saya boleh bermain bersama cucu saya dengan lebih bebas dan menaiki kereta tanpa berfikir panjang,” jelasnya.
Yani mula menyimpan kukunya sejak tahun 1992 dan pada 2018, dia berjaya mencatat nama dalam Guinness World Records dengan ukuran keseluruhan kuku sepanjang 5.5 meter.
Kini kukunya dikatakan mencapai ukuran panjang kira-kira 7 meter. – Agensi