SHAH ALAM – Tindakan sebuah kilang makanan mengambil kesempatan melepaskan sisa pemprosesan terus ke longkang awam ketika hujung minggu terbongkar selepas dikesan pihak berkuasa di sekitar daerah ini baru-baru ini.
Perbuatan itu dikesan pukul 12 tengah malam, Ahad lalu hasil pemeriksaan mengejut Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan mendapati kilang tersebut melepaskan efluen mentah iaitu tanpa rawatan secara pintasan ke longkang awam.
Katanya, perkara tersebut boleh menyebabkan sisa pemprosesan mengalir sehingga Sungai Damansara seterusnya mencemarkan sungai berkenaan.
“Kilang tersebut didapati menggunakan cuti hujung minggu dan waktu malam bagi melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab tersebut.
“Sebanyak tiga sampel efluen telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau memberitahu, kilang berkenaan telah dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.
Ujar Nor Aziah, notis itu mengkehendaki operasi pengeluaran kilang yang menyebabkan pencemaran diberhentikan serta-merta sehingga tindakan pembaikan diambil oleh pihak kilang.
“JAS Selangor akan terus melakukan pemeriksaan secara mengejut terutama waktu malam berikutan tempoh itu sering digunakan kilang-kilang bagi melakukan pencemaran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009,” jelasnya. – K! ONLINE