TAPAH – Polis daerah Tapah menerima laporan membabitkan kes penipuan online yang merekodkan jumlah kerugian tertinggi sebanyak RM2.10 juta sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kes penipuan online itu membabitkan pinjaman tidak wujud melalui Facebook, Macau Scam, belian barang secara atas talian, kes penipuan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) dan Parcel Scam.
Katanya, punca utama mangsa terlibat dalam jenayah penipuan itu ekoran kurang pendedahan tentang modus operandi yang digunakan suspek.
“Misalnya, kes pinjaman tidak wujud, modus operandi yang digunakan ialah penyamaran sebagai pegawai bank yang menawarkan skim pinjaman bayaran bulanan yang murah dengan kadar faedah yang rendah.
“Walaupun sindiket ini menjanjikan proses pinjaman yang mudah dan segera namun mereka akan mengenakan beberapa caj tambahan yang tidak wujud di mana bayaran itu kononnya akan dikembalikan bersama wang pinjaman,” katanya di sini hari ini.
Wan Azharuddin berkata, bagi kes melibatkan Macau Scam pula, suspek akan menyamar sebagai pegawai dari bank, mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, suspek akan menakutkan mangsa dengan menyatakan mereka telah terlibat dengan jenayah seperti penggubahan wang haram, pengedaran dadah dan pengeluaran waran tangkap ke atas mangsa.
“Menerusi modus operandi itu, suspek akan mengenakan caj tambahan yang tidak wujud kepada mangsa bagi menyelesaikan kes jenayah tersebut,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan mangsa yang tertipu dengan penipuan sindiket berkenaan adalah disebabkan kurangnya pendedahan dengan modus operandi yang digunakan suspek.
“Orang awam dinasihatkan tidak menyerahkan maklumat akaun bank atau kad wang mesin juruwang automatik (ATM) kepada individu tidak dikenali bagi mengelakkan diri mereka menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket penipuan,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan sama beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah turut menerima laporan membabitkan kes pecah amanah jenayah membabitkan kerugian sebanyak RM223,182.70 dan kes pinjaman wang tidak berlesen berjumlah RM142,000. – K! ONLINE