fbpx

Kaut untung berganda seludup barang kawalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azanizam Affendi (kanan) menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di SK Gual Tok Deh, Rantau Panjang hari ini.

RANTAU PANJANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mendedahkan penyeludup mampu meraih untung berlipat ganda hasil kegiatan menyeludup keluar barangan subsidi ke negara jiran.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata, keuntungan lumayan itu diraih apabila barangan yang telah disubsidikan oleh kerajaan dijual pada harga lebih mahal di negara berkenaan.

“Permintaan barangan bersubsidi dari Malaysia sangat tinggi di negara jiran.

“Sebab itu, segelintir individu yang tidak bertanggungjawab sanggup untuk melakukan kegiatan haram itu demi meraih untung berganda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Misi Bantuan Pasca Banjir Pantai Timur Oleh Food Bank Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Dalam majlis itu, lebih 40 mangsa banjir dari kawasan sekitar telah menerima bantuan tersebut.

Mengulas lanjut, menurut Azanizam Affendi, minyak masak menjadi barangan paling tinggi diseludup ke negara jiran selain petrol, diesel dan tepung gandum.

Katanya, bagaimanapun, KPDNHEP Kelantan sentiasa menjalinkan kerjasama utuh bersama agensi sempadan seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kerjasama ini merupakan salah satu usaha kita untuk mengelakkan berlakunya kebocoran barangan-barangan subsidi itu diseludup secara haram ke negara jiran,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI