fbpx

Ibu tunggal didakwa cuai terhadap anak kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan melakukan kecuaian ke atas anak lelakinya berusia setahun tujuh bulan sehingga mendatangkan kecederaan.

Tertuduh yang merupakan peniaga barangan kosmetik dalam talian berusia 25 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kecuaian ke atas anak lelakinya berusia setahun tujuh bulan sehingga mendatangkan kecederaan di sebuah rumah di Setapak di sini pada Disember tahun lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung ibu bapanya di kampung.

Hakim Emilia kemudian membenarkan ibu muda itu diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh dilarang menghubungi pengadu dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI