JAKARTA – Penduduk sebuah kampung gempar apabila seekor kambing biri-biri melahirkan anak bermata satu di Kabupaten Salman, Jogjakarta, Indonesia hari ini, lapor laman berita Suara.com.
Pemilik haiwan berkenaan, Tresno Sudarmo, 75, berkata, kambing biri-biri miliknya itu melahirkan dua ekor anak yang salah seekor daripadanya dilahirkan dalam keadaan bermata satu.
“Dua ekor anak kambing biri-biri ini lahir sekitar pukul 2 pagi tadi dan salah satu daripadanya lahir dengan cukup sifat, manakala seekor lagi bermata satu.
“Saya sangat terkejut selepas melihat anak kambing biri-biri itu dilahirkan dengan hanya mempunyai satu mata,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tresno berkata, anak kambing biri-biri bermata satu itu pada mulanya mampu berdiri sendiri selepas dilahirkan, namun lama-kelamaan keadaannya menjadi semakin lemah.
“Keadaannya menjadi semakin lemah kerana tidak mampu untuk minum susu walaupun selepas saya sendiri cuba menyuapnya dengan susu formula.
“Disebabkan itu, anak kambing biri-biri tersebut akhirnya mati sekitar pukul 8.30 pagi tadi,” ujarnya.
Sementara itu, anak Tresno, Rabiman berkata, dia yang membantu proses kelahiran anak kambing biri-biri berkenaan mengakui ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
“Proses kelahiran berjalan dengan lancar dan tiada apa-apa halangan, tapi perkara itu mengejutkan kami berdua.
“Saya yakin dengan kelahiran anak kambing biri-biri bermata satu itu bakal membawa tuah terhadap keluarga kami, tapi apa daya umurnya tidak panjang,” katanya. – Agensi