KLANG – Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan memohon bantuan orang ramai mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahannya.
Nik Munira Mohd. Sabri, 21, berkata, dia terputus hubungan dengan bapa kandungnya sejak berusia sehari apabila diserahkan kepada bapa angkatnya, Azman Hassan, 60, di Gua Musang, Kelantan.
Katanya, bapa dan ibunya masing-masing dikenali Mohd. Sabri Sarasid, 59 dan Tun Moh Ku Mat, 54, merupakan warga Thailand.
“Keluarga angkat terputus hubungan dengan ibu bapa kandung sehingga sekarang.
“Pernah bapa angkat mencari mereka di Gua Musang namun tidak ditemui dan tidak diketahui sama ada masih berada di negeri itu atau tidak,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Justeru, Nik Munira berharap orang ramai dapat membantunya agar perkahwinan dengan pasangannya, Abdul Malek Mokhtar, 43, berjalan lancar.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohd. Sabri boleh menghubungi Azman di talian 019-217 1096. -K! ONLINE