PUCHONG – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Selangor melalui Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan gerai makan milik sekumpulan 43 penjaja di Puchong Permai ketika rakyat sedang bergelut dengan Covid-19.
Noh melahirkan rasa kesal dengan tindakan terburu-buru dan menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai buta, tuli dan pekak kepada masalah rakyat.
“Mengapa Menteri Besar ini ada masalah ke, pekak, buta, tak dengar atau tak lihat apa yang berlaku?
“Datuk Bandar ini dia pun tak guna otak, ini masalah rakyat, kamu kena turun kena tengok. Nak roboh boleh, nak ambil tindakan boleh tapi jangan sekarang.
“Ini waktu Covid-19, rakyat tengah susah, orang yang tiada modal kita kena bagi berniaga,” katanya pada sidang akhbar selepas turun padang ke kawasan gerai makan di Puchong Permai hari ini.
Terdahulu pada Isnin lalu, lebih 100 anggota penguat kuasa termasuk MBSJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam operasi perobohan gerai-gerai makan milik 43 penjaja kecil di Puchong Permai. – K! ONLINE