KOTA BHARU – Seorang buruh yang bekerja kampung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua orang anak kandung yang berusia enam dan 14 tahun sejak tahun lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menggeselkan kemaluan pada badan anak perempuannya yang berusia enam tahun.
Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah kampung di Machang kira-kira pukul 5 petang pada 1 Disember lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memasukkan tangan ke dalam seluar anak perempuannya itu di lokasi sama kira-kira pukul 10 malam pada 2 November lalu.
Pendakwaan terhadap dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang lagi anak perempuannya yang berusia 14 tahun di lokasi sama kira-kira pukul 5.30 petang pada bulan Februari tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.
Terdahulu, Abu Arsalnaa memohon agar mahkamah tidak menetapkan sebarang ikat jamin kerana khuatir tertuduh akan mengganggu mangsa yang juga merupakan anak kandungnya.
Syed Muhammad Syafiq memohon ikat jamin selain berjanji anak guamnya tidak akan mengganggu mangsa.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh 31 Januari depan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE