PARIS – Seramai 50 wartawan dan pekerja media dibunuh kerana pekerjaan mereka tahun ini dengan sebahagian besar terbunuh di negara-negara yang tidak berperang, kata persatuan Pemberita Tanpa Sempadan (RSF) semalam.
Angka itu menunjukkan pemberita yang menyiasat jenayah terancang, rasuah atau masalah alam sekitar semakin ramai dijadikan sasaran bunuh, kata RSF.
Badan tersebut memberi tumpuan kepada pembunuhan wartawan di Mexico, India dan Pakistan.
Sebanyak 84 empat peratus wartawan yang dibunuh tahun ini ‘sengaja disasarkan’ kerana pekerjaan mereka, kata RSF dalam laporan tahunannya, berbanding 63 peratus pada 2019.
“Selama beberapa tahun sehingga sekarang, RSF mendapati wartawan penyiasatan benar-benar berada dalam konfrontasi dengan kerajaan atau kartel penjenayah,” kata Ketua Editor RSF, Pauline Ades-Mevel.Mexico adalah negara paling berbahaya dengan lapan wartawan mati dibunuh.
“Hubungan pengedar dadah dan ahli politik tetap ada dan wartawan yang berani membuat liputan mengenai perkara ini atau yang berkaitan terus menjadi sasaran pembunuhan kejam,” kata laporan itu.
Tiada satu pun pembunuhan di Mexico yang mana pelakunya dihukum, tambah RSF yang mengumpulkan data tahunan mengenai keganasan terhadap wartawan di seluruh dunia sejak 1995.
Lima wartawan terbunuh di negara bergolak Afghanistan, katanya.
RSF mengesahkan wujud peningkatan dalam serangan terancang terhadap petugas media sejak beberapa bulan lalu walaupun ketika rundingan damai antara pemerintah dan kumpulan Taliban sedang berlangsung.
Dalam bahagian pertama laporannya yang diterbitkan bulan ini, RSF menyatakan, pihaknya bimbang langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan di seluruh dunia untuk memerangi pandemik koronavirus telah menyumbang kepada ‘kemuncak pelanggaran kebebasan akhbar’.
Ia menyenaraikan 387 wartawan yang telah dipenjara sekali gus jumlah yang tinggi dalam sejarah.
Seramai 14 daripada mereka ditangkap kerana membuat liputan mengenai krisis koronavirus, kata RSF. – AFP