PETALING JAYA – Seramai 29 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Benteng yang telah dijalankan pihak berkuasa semalam.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain menahan PATI, pihaknya turut merampas 10 kenderaan darat.
Katanya, sebanyak 110 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksanakan semalam di seluruh negara melibat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan sama, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah menahan 231 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
“Daripada jumlah itu, 225 telah dikenakan kompaun manakala enam individu direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), aktiviti pusat hiburan (63), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (13) dan lain-lain (4),” ujarnya. – K! ONLINE