fbpx

Universiti Gadjah Mada cipta alat pengesan Covid-19 sepantas 2 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alat pengesan Covid-19, GeNose yang dibangunkan oleh UGM. - KOMPAS.COM

JAKARTA – Universiti Gadjah Mada (UGM) mula menerima tempahan alat pengesan Covid-19 yang dibangunkan para penyelidiknya semalam, lapor laman berita The Jakarta Post.

Penyelidik UGM, Dian K. Nurputra berkata, pihaknya menerima banyak tempahan dari beberapa pihak seperti Agensi Inovasi dan Penyelidikan Kebangsaan (BRIN) serta Pejabat Presiden.

“Kami telah mendapat banyak tempahan selepas memperoleh permit pengedaran dan sebuah syarikat dari Singapura turut menyuarakan hasrat untuk membeli alat tersebut.

“Pada masa ini kami masih mengutamakan tempahan tempatan berikutan pengeluaran terhad dan 100 unit awal yang kami hasilkan sebelum ini juga telah habis dijual,” katanya.

Selain itu, Dian berkata, pihaknya menjangka akan menghasilkan sebanyak 2,000 hingga 2,500 alat pengesan yang dinamakan GeNose itu pada penghujung Januari tahun hadapan.

Tambah Dian, alat tersebut akan dijual pada harga 62 juta rupiah (RM17,814) seunit termasuk sesi latihan cara penggunaannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pejabat Presiden, Moeldoko berkata, pihaknya meminta supaya GeNose dapat ditawarkan kepada orang awam secepat mungkin supaya ia dapat memberikan sokongan kepada tempat yang memerlukannya.

Sebelum ini, GeNose yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari UGM telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan pada Khamis lalu selepas melalui proses uji kaji selama beberapa bulan.

Penyelidikan serta penghasilan alat tersebut mendapat pembiayaan daripada Agensi Risikan Negeri dan BRIN.

Alat tersebut mampu mengesan jangkitan Covid-19 melalui pernafasan manusia dan menunjukkan keputusan sepantas dua minit dengan ketepatan sehingga 97 peratus.

Sebanyak 100 unit alat tersebut dijangka akan dibekalkan ke beberapa buah hospital, lapangan terbang dan stesen kereta api. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI