JODOH Mohamadou Sumareh bersama kelab Police Tero tidak berpanjangan apabila pemain sayap naturalisasi negara itu dilaporkan sudah berpisah dengan kelab divisyen satu Liga Thailand tersebut.
Ia selepas media antarabangsa dari Thailand, Goal Thailand melaporkan semalam bahawa Police Tero sudah tidak berminat untuk menggunakan khidmat Sumareh yang sering dilanda masalah kecederaan sepanjang berada di sana sejak September lalu.
“Bintang Gambia itu dilaporkan sedang bersiap untuk kembali ke Malaysia. Police Tero mengesahkan mereka tidak menawarkan kontrak lanjutan kepada Sumareh,” menurut laporan yang dipetik daripada Goal Thailand.
Sebagai rekod, Sumareh sekadar bermain empat perlawanan dengan keseluruhan 111 minit permainan bersama Police Tero, selain gagal menjaringkan sebarang gol sejak berhijrah keluar dari Pahang pada September lalu.
Perkhabaran itu kembali mewujudkan tanda tanya berhubung pasukan baharu yang akan diwakili Sumareh, 26, spekulasi hangat mengaitkan gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan pemain kelahiran Gambia itu.
Jika destinasi Sumareh seterusnya adalah JDT, kehadirannya pasti akan menguatkan lagi jentera serangan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu yang kini kembali mendapat semula khidmat Muhammad Safawi Rasid untuk menghadapi saingan musim depan.
Safawi juga dilaporkan semakin bersemangat untuk kembali mewakili bekas juara Piala AFC 2015 itu selepas tiga bulan berkelana ke Portugal bersama Portimonense SC apabila memuat naik gambarnya beraksi dengan JDT dalam laman Instagram peribadinya semalam.