LIVERPOOL – Pengurus West Bromwich Albion, Sam Allardyce menempelak Jurgen Klopp yang mengkritik taktikal permainannya sewaktu seri 1-1 dengan Liverpool pada aksi Liga
Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield awal pagi semalam.
Klopp, 53, mendakwa corak permainan ditampilkan Allardyce adalah sangat ‘tidak sihat’ kerana sanggup mengamalkan taktikal bertahan dengan formasi 6-4-0 bagi memastikan The Reds gagal menjaringkan gol ke atas West Brom.
Bukan sahaja Klopp, malah beberapa penganalisis EPL turut menggelar perlawanan antara Liverpool dan West Brom itu seperti England sedang menentang San Marino.
Bagaimanapun, Allardyce, 66, mempertahankan taktikalnya dan memuji kecemerlangan para pemainnya terutama penjaga gol, Sam Johnstone kerana berjaya mencuri satu mata yang cukup berharga ke atas Liverpool di laman keramat mereka, Anfield.
“Orang kata saya cuma bernasib baik tidak dibelasah tetapi sekurang-kurangnya saya berjaya mengelak daripada kalah kepada Liverpool. Bukan salah saya apabila Liverpool gagal memenangi perlawanan ini.
“Tiada sesiapa yakin kami boleh mencuri satu mata daripada Liverpool. Mungkin mereka merasakan kami akan dibelasah sehingga tujuh gol seperti Crystal Palace selepas Liverpool menjaringkan gol pertama hari ini (awal pagi semalam).
“Anda perlu ingat ini adalah perlawanan kedua saya bersama West Brom. Jadi saya boleh menganggap keputusan ini seperti satu kemenangan yang cukup bermakna,” katanya.
Pemain pertahanan Nigeria, Semi Ajayi muncul penyelamat West Brom apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-82 selepas Sadio Mane membuka tirai jaringan buat Liverpool. – AGENSI