fbpx

Rupanya anak ‘dijaga’ lelaki disyaki sakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JULALIE YASMIN (kanan) tidak dapat menahan sebak selepas menemui semula dengan anaknya di Balai Polis Bunut Susu di Pasir Mas semalam.

PASIR MAS – Seorang kanak-kanak yang disangka lemas di tali air kelmarin ditemui semula semalam selepas dia ‘dijaga’ oleh seorang lelaki dipercayai menghidap masalah mental di Kampung Tal Tujuh di sini.

Muhammad Naim Nasa Mohd. Maghni, 6, ditemui penduduk ketika makan di sebuah kedai di kampung itu sebelum diserahkan kepada polis pukul 12.30 tengah hari.

Ibu mangsa, Julalie Yasmin Mohamed, 35, berkata, dia menyedari anak kelima daripada tujuh beradik itu hilang selepas Muhammad Naim Nasa bersama abangnya, Muhammad Naqidin, 8, tidak pulang ke rumah kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

Katanya, sebelum kejadian, dua beradik itu keluar meman­cing di tali air yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah selepas sarapan pukul 9 pagi.

“Namun saya hairan apabila Naqidin pulang ke rumah seorang diri pukul 12 tengah hari. Dia memaklumkan adiknya itu sudah pulang ke rumah apabila melihat Naim tiada lagi bersamanya.

“Saya kemudian meminta bantuan penduduk untuk mencarinya sehingga lewat malam kerana khuatir lemas di tali air. Setelah usaha mencari gagal, saya membuat laporan di Balai Polis Bunut Susu kira-kira pukul 1.30 pagi tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Julalie Yasmin, usaha mencari anaknya itu menemui sinar apabila Muhammad Naim Nasa dilihat berjalan bersama seorang lelaki menerusi rakaman televisyen litar tertutup di sebuah kedai di kampung tersebut.

Katanya, penduduk kemudian mencari lelaki yang disyaki menghidap masalah mental dan memujuknya agar memberitahu di mana Muhammad Naim Nasa berada.

“Lelaki itu telah membawa penduduk di sebuah wakaf yang menjadi tempat tidur anak saya, namun Naim sudah tiada kerana pergi ke sebuah kedai makan akibat terlalu lapar sebelum dia ditemui di sana,” ujarnya.

Julalie Yasmin berkata, anaknya itu telah meninggalkan abangnya di tali air dan pergi berjalan-jalan di sekitar kampung sebelum terserempak dengan lelaki terbabit.

Ujarnya, lelaki itu telah mengajak Muhammad Naim Nasa ‘melepak’ di sebuah wakaf sehingga lewat malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan pihaknya mene­rima laporan berhubung kehilangan kanak-kanak itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI