fbpx

Rampasan daun ketum terbesar di Gerik, dua lelaki ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli (dua dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas selepas menahan dua lelaki di Kilometer 17, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey di Gerik kelmarin.

GERIK – Cubaan dua lelaki menyeludup daun ketum dari Kedah ke Kelantan menggunakan lori gagal apabila kenderaan dinaiki mereka ditahan di Kilometer 17, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey di sini kelmarin.

Suspek berusia 46 dan 52 tahun itu ditahan semasa pemeriksaan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada pukul 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, sebanyak 800 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 4,000 kilogram (kg) telah dijumpai di bahagian belakang lori lima tan itu.

Katanya, siasatan mendapati, bekalan daun ketum itu diperoleh dari Kedah untuk dibawa pulang ke Kelantan menggunakan lori yang disewa.

“Kedua-dua suspek berasal dari Kelantan dan menerima upah sebanyak RM1,000 seorang untuk membawa ketum yang diambil dari Kedah .

“Siasatan mendapati, mereka hanya menerima upah membawa daun ketum itu di mana urusan menyewa kenderaan dan membawa masuk barang ke dalam lori diuruskan pihak lain,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Gerik di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, rampasan daun ketum itu merupakan rampasan terbesar di daerah Gerik sepanjang tahun ini yang melibatkan nilai pasaran berjumlah RM120,000.

Katanya, kedua-dua lelaki yang mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah itu direman selama tiga hari berakhir esok.

“Ujian saringan air kencing ke atas mereka didapati negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang Januari hingga Disember ini, seramai 87 individu ditahan membabitkan 66 kes rampasan daun dan air ketum di daerah Gerik.

“Daripada jumlah itu, polis berjaya merampas lebih 11,000 kg daun ketum dan 319.96 liter air ketum. Rampasan yang dilakukan kelmarin adalah terbesar bagi tahun ini iaitu sebanyak empat tan (4,000 kg),” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI