fbpx

Penduduk terkejut wujud Kluster Pintu Geng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk di Kampung Pintu Geng tidak keluar dari rumah mereka selepas pengumuman Kluster Pintu Geng.

KOTA BHARU – Rata-rata penduduk yang tinggal di Kampung Pintu Geng di sini terkejut apabila wabak Covid-19 tersebar di kawasan itu sehingga mengakibatkan pengumuman Kluster Pintu Geng di situ kelmarin.

Lebih membimbangkan, banyak kedai makan di kampung itu menjadi tumpuan penduduk sekitar yang tidak diketahui status kesihatan mereka.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Kampung Pintu Geng mendapati penduduk mula berkurung di dalam rumah masing-masing selepas melihat beberapa buah van Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di kawasan belakang dewan futsal dipercayai mengambil beberapa penduduk yang positif Covid-19 pada Ahad lalu.

Seorang peniaga kedai makan, Suria Salleh, 49, berkata, dia mengetahui kewujudan Kluster Pintu Geng di kawasan itu melalui media sosial kelmarin.

“Saya terpaksa membuka perniagaan seperti biasa kerana pendapatan harian bergantung kepada kehadiran pelanggan ke kedai. Bagaimanapun, saya tetap berjaga-jaga ketika bertemu pelanggan.

“Saya dan keluarga meminta pelanggan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memeriksa suhu dan memakai cecair pembasmi kuman ketika masuk ke dalam kedai,” katanya.

Suria turut berharap sekiranya ada penduduk kampung yang mempunyai simptom Covid-19 agar tidak keluar rumah kerana perbuatan itu akan menyusahkan orang lain.

Kluster Pintu Geng membabitkan kawasan di daerah Kota Bharu dengan kes indeks iaitu kes ke-101,557 pada 25 Disember lalu melalui saringan individu bergejala.

Seramai 130 individu sudah disaring dengan 21 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster tersebut.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI