PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melupuskan sebanyak 756 buah set komputer dan 200 mesin simulator melibatkan kes perjudian di Balai Polis Ara Damansara di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kesemua barang kes tersebut melibatkan 207 kertas siasatan yang telah selesai sejak tahun 2012 bagi daerah Petaling Jaya.
“Jumlah barang kes yang dilupuskan hari ini adalah sebanyak 1,918 unit, merangkumi 756 set komputer, 178 tablet, 967 laptop, 12 mesin simulator dan juga lima biji telefon bimbit.
“Turut dilupuskan atau diserahkan kepada perbendaharaan negara adalah wang tunai berjumlah RM33,182,” katanya pada sidang akhbar majlis pelupusan barang kes perjudian online di sini hari ini.
Dalam pada itu Nik Ezanee berkata, pada tahun ini daerah Petaling Jaya mencatatkan kes judi online terendah dalam sejarah.
“Hari ini dengan sukacita saya maklumkan, Petaling Jaya catat tahap kes judi online paling rendah dalam sejarah. Ini adalah hasil daripada dedikasi pegawai-pegawai dan anggota di Petaling Jaya dan juga kerjasama daripada komuniti di sini.
“Kami turut mengucapkan terima kasih kepada komuniti kerana sering menyalurkan maklumat kepada kami dan tahun hadapan kita akan kekalkan begini,” jelasnya. – K! ONLINE.