GUA MUSANG – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Wira, Muhamad Asymawi Muhamad Albakri, 20, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dan rakannya, Mohamad Syazwan Mohamad Kamal, 18, sedang dalam perjalanan dari Felda Chiku 3 di sini ke Gua Musang.
Katanya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Muhamad Asymawi hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di dalam longkang di bahagian kanan jalan.
“Kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Mohamad Syazwan mengalami kecederaan.
“Siasatan awal juga mendapati pemandu kereta itu juga tidak mempunyai lesen memandu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Choon Foo, mangsa berasal dari Rancangan Tanah Felda Chiku 3 manakala rakannya dari Felda Chiku 5.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat manakala rakannya turut dirawat di hospital yang sama.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong kanan Penguasa Bomba, Mohd. Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, 11 anggota bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.11 pagi, kedua-dua mangsa dilihat tersepit di dalam kereta terbabit yang terbalik dalam longkang.
Tambahnya, anggota bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kereta yang sudah separuh remuk akibat kemalangan itu. -K! ONLINE.