PENYANYI kumpulan The Boyz, Eric berdepan kecaman netizen selepas sebuah video memaparkan dirinya tidak mengenakan pelitup muka ketika berada di tempat awam tersebar luas dalam media sosial.
Dalam video yang berlegar sejak 24 Disember lalu, Eric bersama rakan-rakannya dilihat sedang bergembira di sebuah pusat bowling.
Selepas teruk dikecam dan disifatkan tidak bertanggungjawab apabila gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang musim Covid-19, Eric kemudian tampil membuat permohonan maaf dan mengaku kesilapannya.
“Pada waktu sukar sebegini, saya sepatutnya memakai pelitup muka tidak kira di mana berada. Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab ini, saya berasa malu. Saya minta maaf kepada semua.
“Saya malu kerana meminta kalian menjaga diri dan mematuhi SOP sedangkan diri sendiri tidak melakukannya. Saya berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, agensi Creker Entertainment turut mengeluarkan amaran untuk mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang menyunting video tersebut.
“Kami minta maaf atas sikap Eric. Bagaimanapun kami mendapati ada terdapat video lain yang disunting pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kekeliruan dan fitnah atas kejadian ini.
Tindakan keras akan diambil sekiranya situasi ini bertambah buruk,” jelasnya.