fbpx

Jaga adab, jangan pentingkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masalah sampah adalah isu kejiranan paling utama yang perlu dititikberatkan.
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SEKITAR Oktober lalu, seorang lelaki dan wanita yang berjiran di sebuah kawasan perumahan di Ipoh, Perak dihadapkan ke mahkamah kerana bergaduh dan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan antara satu sama lain.

Pergaduhan antara dua individu berusia 40-an itu tercetus hanya kerana sampah.

Kes tersebut bagaimanapun selesai dan kedua-dua mereka dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ipoh.

Tampak remeh, tetapi isu pembuangan sampah merupakan isu yang besar dalam komuniti berjiran.

Siapa yang tidak marah apabila kawasan kediaman yang dijaga rapi, bersih dan kemas tiba-tiba dilonggokkan dengan sampah oleh jiran tetangga.

Penulis sendiri pernah mengalami situasi yang sama. Sampah tersebut ditinggalkan di kawasan koridor kediaman kami sehingga berbau busuk dan berulat.

Dek kerana tidak tahan dengan sikap pentingkan diri dan tidak menjaga kebersihan mereka, penulis terpaksa mengambil keputusan drastik berpindah ke rumah baharu.

Mungkin sesetengah individu terlupa bahawa hidup berjiran ini perlu bertolak ansur dan saling hormat antara satu sama lain. Malah dalam Islam sendiri ada menyebut mengenai adab dalam berjiran.

Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Zaizul Ab. Rahman, keadaan ini pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW.

Abu Hurairah meriwayatkan, ada seorang lelaki bertemu Nabi Muhammad lalu mengadu perihal jirannya. Maka Baginda SAW berpesan: “Pergilah dan bersabarlah.”

Islam merupakan sebuah agama yang sentiasa menekankan aspek semangat kejiranan yang utuh dan menggariskan kategori jiran kepada tiga jenis.

Antaranya ialah jiran sesama Islam yang mempunyai hubu­ngan kekeluargaan, jiran sesama Islam yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dan jiran bukan Islam.

“Siapa yang dimaksudkan sebagai jiran menurut agama Islam?

“Imam Al-Nawawi Rahimahullah menyatakan orang yang dianggap jiran tetangga ialah orang yang berada 40 buah rumah dari sudut kanan, kiri, depan dan belakang kediaman individu.

“Justeru, Allah menegah individu daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik seperti bermasam muka, tidak bertegur sapa dan bersikap individualistik.

“Adab lain yang perlu ditekankan dalam Islam ialah jangan membuat bising secara keterlaluan seperti menyanyi karaoke, memasang lagu dengan kuat sehingga lewat malam dan menganggu jiran.” katanya.

Keharmonian dalam kehidupan berjiran juga amat ditekankan di dalam Islam menerusi konsep Habluminannas iaitu hubungan sesama manusia.

“Seperti yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW berpesan, sesiapa yang beriman de­ngan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah mereka berbuat baik kepada jirannya,” katanya.

Kesimpulannya, setiap individu digesa untuk berlaku baik kepada jiran kerana tuntutan tersebut datang daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.

“Allah juga menyediakan hukuman yang berat kepada orang-orang suka menyakiti jiran tetangganya.

“Tambahan pula, Islam mengajar umatnya agar sentiasa dalam keadaan sabar dan berlapang dada dalam menghadapi pelbagai pahit manis kehidupan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI