KLANG – Kegiatan dua lelaki yang aktif mencuri kabel elektrik sejak awal bulan ini bagi membeli dadah berakhir selepas dicekup di sekitar Pandamaran Jaya, kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 40 dan 44 tahun itu ditahan dalam tempoh sejam bermula pukul 3 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tangkapan mereka susulan laporan polis dilakukan seorang kontraktor perkhidmatan telekomunikasi pada 23 Disember lalu yang kehilangan segulung kabel elektrik dianggarkan seberat lebih enam kilogram (kg) di rumahnya di Bukit Tinggi di sini.
Katanya, semakan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati dua suspek menaiki motosikal jenis Modenas Kriss berwarna putih dan memanjat pagar hadapan rumah mangsa sebelum mencuri kabel berkenaan.
“Bertindak hasil maklumat, polis kemudiannya berjaya memberkas kedua-dua suspek selain merampas beberapa gulung kabel yang telah dibakar, Modenas Kriss, kereta jenis Proton Wira dan serangkai kunci kenderaan.
“Soal-siasat mendapati kedua-dua suspek yang positif heroin itu mengaku mencuri kabel berkenaan dengan hasil jualan digunakan membeli dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kata beliau, hasil siasatan turut mendapati mereka terlibat dalam dua kes curi kabel sejak awal bulan ini.
Tambah Shamsul Amar, suspek didapati meraih untung RM20 bagi sekilogram kabel yang dijual di pasaran gelap.
“Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan polis masih memburu seorang lagi rakan suspek dikenali Panjang.
“Mereka kini direman selama empat hari sehingga 31 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” jelasnya. -K!ONLINE