BINTANG Selangor, Brendan Gan mengharapkan tuah memihak kepadanya untuk memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) esok.
Brendan melahirkan rasa teruja apabila tercalon buat kali ketiga bersama calon bernama besar dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) selepas pertama kali tercalon sewaktu ABK 2017 ketika mewakili Perak.
“Saya berpegang kepada prinsip bahawa usaha keras akan membuahkan hasil lumayan.
“Sejak tercalon pada edisi sebelum ini sehingga sekarang membuatkan saya ingin melakukan yang lebih baik pada setiap tahun.
“Saya hanya mengharapkan yang terbaik. Pencalonan ini membuktikan saya berada pada hala tuju yang tepat untuk terus mencapai prestasi terbaik kepada pasukan,” jelasnya.
Brendan bakal bersaing dengan empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tercalon dalam kategori Pemain Tengah Terbaik seperti Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Afiq Fazail, Gonzalo Cabrera dan Leandro Velazquez.
Pemain berdarah campuran Malaysia dan Australia itu berpeluang menamatkan dominasi Safawi Rasid yang telah memenangi kategori tersebut selama dua tahun berturut-turut jika berjaya dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik ABK20.
Lima lagi calon lain turut berada dalam senarai pencalonan iaitu Faisal Abd. Halim yang mewakili Pahang, Leandro dos Santos (Perak), Lee Tuck (Terengganu FC), Nor Azam Abdul Azih (Pahang) dan Muhammad Syahmi Safari (Selangor).
Sebagai rekod, Brendan berjaya meledak dua gol sepanjang lapan perlawanan Liga Super bersama Selangor sekali gus membantu skuad Gergasi Merah itu menduduki tangga kelima musim ini.