fbpx

Bertaruh RM3,000 untuk lumba haram di LPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang lelaki yang ditahan bersama motosikal kerana disyaki menyertai lumba haram di LPT.

PETALING JAYA – Geng Kemaman dan Geng Kerteh yang aktif menganjurkan perlumbaan haram di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) sejak beberapa tahun lalu diberkas dalam Ops Samseng Jalanan semalam.

Kesemua 10 suspek yang berusia lingkungan 24 hingga 33 tahun itu diberkas pada pukul 10 malam selepas pihak polis mengesan seorang penunggang motosikal yang melakukan aksi superman di Kilometer 330 LPT 2.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, suspek pertama itu ditahan selepas memberhentikan motosikalnya di belakang sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dinaiki dua lelaki dipercayai berperanan menyelia perlumbaan.

“Susulan itu, polis menahan empat lelaki dalam sebuah kereta Proton Wira disyaki adalah penganjur perlumbaan di hentian rehat Plaza Tol Kerteh.

“Selepas itu, kita menahan seorang penunggang motosikal dan dua lelaki yang terlibat secara langsung dalam kegiatan haram itu di Plaza Tol Paka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati geng berkenaan aktif menganjurkan beberapa tahun lalu dengan nilai pertaruhan RM3,000.

“Ahli geng yang sama pernah ditahan sebelum ini atas kegiatan perlumbaan haram. Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Kesemua tangkapan kini direman tiga hari sehingga Khamis untuk siasatan di bawah Sekyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 81 akta yang sama,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI