fbpx

Anuar Zain mahu penantian berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANUAR ZAIN

KALI terakhir penyanyi bersuara merdu dengan kelasnya yang tersendiri itu hadir dengan single terakhir sekitar November 2018 lalu.

Hampir dua tahun berlalu pergi, penyanyi kelahiran Melaka itu menyepi tanpa buah tangan terbaharu.

Kerjaya seninya seakan-akan lompong seketika. Ramai yang bertanya apa yang dilakukan Anuar Zain selepas pelancaran single dan muzik video terakhir, Belahan Jiwa diluncurkan.

Kerjaya muzik lelaki berumur 50 tahun juga lompong seketika. Jarang benar kelibatnya di kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar tempatan.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia secara tidak langsung menambah ‘malap’ perjalanan seni insan berzodiak Aquarius itu.

UNDANGAN persembahan eksklusif pada malam berprestij AME2020 baru-baru ini membuktikan dirinya masih aktif dan kekal berbisa sebagai anak seni.

“Jujur saya merindui dunia seni. Rindu untuk menyanyi, membuat persembahan dan bertentang mata bersama peminat tercinta.

“Tetapi apakan daya, situasi semasa mengheret saya untuk tidak dapat melakukan itu semua,” ujar Anuar tatkala membuka bicara bersama HibGlam baru-baru ini.

Anuar ditemui pada malam berprestij Anugerah MeleTOP Era (AME2020) selepas membuat persembahan eksklusif dengan membawakan dua buah lagu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Berbual lanjut, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain menyatakan dia kini sedang dalam fasa inkubasi di samping sibuk mengumpul material bagi single seterusnya kelak.

PENYANYI berusia 50 tahun berjanji untuk terus berada dalam industri. –
MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Kumpul material

Penyanyi Lelaki Terbaik menerusi Anugerah Planet Muzik 2017 itu sedang berusaha mengumpul material untuk diadunkan sebagai buah tangan untuk peminat.

Akuinya, dia memerlukan sedikit masa untuk mencari material bagi memastikan naskhah yang terhasil benar-benar bermutu untuk dipersembahkan kepada khalayak, selain menyelitkan impak dramatik di dalamnya.

“Mungkin ramai yang sudah tahu, saya memang seorang yang sangat teliti dan sedikit cerewet dalam soal pemilihan material buat sesebuah lagu.

“Biar sedikit lambat, tetapi lagu yang dihasilkan mempunyai kualiti. Bukan soal berapa banyak lagu yang nak dihasilkan, tetapi penerimaan pendengar yang menjadi keutamaan,” tuturnya.

Cerita pelantun yang popular menerusi lagu-lagu siulan Sedetik Lebih, Ajari Aku dan Keabadian Cinta itu lagi, dia juga banyak mendapat pertanyaan daripada peminat serta pengikut mengenai perkembangan kerjayanya kini.

Jawab Anuar ringkas, dia masih ada dalam industri dan belum pernah terfikir untuk berehat panjang meninggalkan kecintaan terhadap nyanyian.

Cuma tuturnya, dia perlukan sedikit masa dan ketenangan untuk mengumpul seberapa banyak material yang benar-benar berbaloi untuk dijadikan hadiah buat peminat.

ANUAR mengakui dia kini sibuk dengan proses mengumpul material bagi naskhah terbaharunya yang bakal diluncurkan tahun hadapan.

Pilihan kedua

Ditebak mengenai pemilihan komposer bagi naskah akan datang, Anuar Zain memberitahu seperti lazimnya dan seakan-akan boleh diteka, khidmat komposer dari Indonesia tetap menjadi pilihannya.

Bagaimanapun, adik Ziana Zain itu tetap mengutamakan komposer tempatan untuk material terbaharunya.

“Biasanya lagu-lagu saya mendapat sentuhan daripada komposer dan penulis lirik dari Indonesia. Tetapi kali ini, boleh dikatakan semua single baharu itu merupakan 100 peratus ciptaan komposer kita.

“Pun begitu, saya tidak menolak jika ada komposer luar seperti Indonesia yang ingin menyumbangkan lagu hasil ciptaan mereka kepada saya, tapi akan jatuh sebagai pilihan kedua,” ujarnya.

Menyambung cerita, penyanyi yang sudah lebih tiga dekad dalam industri hiburan negara itu memberitahu, dia juga memohon mana-mana komposer dan pengkarya muda untuk tidak segan silu berkolaboratif bersamanya.

Dia berbangga dengan kejayaan penyanyi dalam kalangan anak muda sekarang, khususnya penyanyi-penyanyi baharu kini yang menghasilkan variasi lagu bermutu dan memberi impak tersendiri terhadap industri muzik lokal.

“Banyak nama yang saya boleh sebutkan. Naim Daniel dan Aina Abdul antara penyanyi dan pencipta lagu muda yang begitu menyerlah dan mempunyai hasil kerja menakjubkan.

“Trend muzik sekarang lebih ke arah pop balada. Tidak dinafikan lagu-lagu bargenre balada masih menjadi pilihan sesetengah peminat muzik, namun perlu lebih divariasikan,” tuturnya.

Menutup perbualan, soalan berbunyi adakah single akan datangnya turut diselitkan dengan gandingan penyanyi lain sebagai gandingan duet, Anuar tidak menafikan, ada perancangan ke arah tersebut.

ANUAR percaya lagu balada tetap mempunyai pengaruh kuat kepada peminat, namun dalam masa sama harus divariasikan bagi mencapai impak maksimum.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI