Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
BENTONG – Kecuaian seorang pemandu treler yang positif dadah menyebabkan seorang wanita maut dalam satu kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 3 Jalan Bentong-Raub di sini, hari ini .
Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah pemandu kereta jenis Perodua Myvi, S. Puganeswari berusia 42 tahun.
Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu melibatkan lima buah kenderan iaitu sebuah treler, dua buah kereta dan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, semasa kejadian lori treler dipandu lelaki berusia 40 tahun itu dalam perjalanan dari arah Raub menuju ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu treler tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton Wira lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Perodua Myvi
“Dalam masa yang sama kereta jenis Proton Wira menggelongsor kehadapan lalu melanggar dua buah MPV jenis Toyota Wish,”katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, akibat kemalangan tersebut pemandu kereta jenis Perodu MyVi meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemandu dan dua penumpang kereta Proton Wira mengalami kecederaan manakala pemandu treler dan pemandu Toyota Wish tidak mengalami kecederaan.
Jelasnya mangsa yang maut dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital yang sama.
Dalam pada itu, beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati pemandu treler positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-K!ONLINE