SEBERANG PERAI – Polis menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang lelaki berhubung dakwaan kehadiran seekor buaya berdekatan jeti nelayan Pantai Bersih, Butterworth di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, individu yang membuat laporan berkenaan bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang bukti atau video berhubung kejadian itu.
“Laporan polis yang dibuat itu mendakwa melihat seekor buaya sepanjang kira-kira tiga meter berdekatan jeti nelayan tersebut pada 24 Disember lalu.
“Bagimanapun satu rakaman video lama yang dibuat pada 2013 turut ditularkan hari ini oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, video tular itu yang memaparkan seekor buaya sedang berenang dirakam berdekatan Terminal Kontena Butterworth Utara di sini.
Beliau berkata, polis telah merujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi tindakan lanjut berhubung laporan polis dibuat oleh lelaki berusia 33 tahun itu.
Sementara itu Noorzainy turut meminta orang ramai agar tidak menokok tambah bagi mensensasikan perkara itu. – K! ONLINE