Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Penduduk di Pulau Pinang khususnya di kawasan Taman Ilmu, Nibong Tebal di sini mampu tidur lena selepas tidak lagi diganggu ketukan misteri sejak semalam.
Beberapa pemilik rumah yang mendakwa pernah diganggu sebelum ini juga dikatakan mulai lega dan tidak terlalu risau akan situasi berkenaan.
Norasmawati Allias, 39, yang diganggu selama dua malam berturut-turut iaitu pada 22 dan 23 Disember lalu berkata, dia berharap tiada lagi kes ketukan misteri di kawasan taman perumahan itu selepas ini.
“Semasa kejadian tempoh hari, saya mendapatkan bantuan seorang ustaz yang juga kenalan suami membacakan ayat suci al-Quran.
“Alhamdulillah, setakat ini keadaan nampak kembali seperti biasa. Harap-harap ia berpanjangan dan kami tidak lagi dihantui ketukan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Kosmo! difahamkan bahawa ketukan misteri itu masih menghantui beberapa kawasan kediaman lain di Nibong Tebal.
Perkara itu dimaklumkan melalui perkongsian penduduk lain khususnya penghuni yang mendakwa telah menjadi mangsa kepada ketukan misteri itu.
Akhbar semalam melaporkan ketukan misteri yang selama ini membelenggu penduduk di Selangor, Johor, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan kini telah ‘berjangkit’ ke Pulau Pinang khususnya di Nibong Tebal membuatkan penduduk terganggu.