fbpx

Tajul, Tuah hampir bertumbuk kerana Izinkan Aku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAJUL tampil dengan single terbaharu berjudul Izinkan Aku.

PETALING JAYA – Gara-gara single baharu berjudul Izinkan Aku, penyanyi Tajul hampir bertumbuk dengan seorang bakat muda yang turut bertindak sebagai penulis lirik dan pencipta lagu terbabit iaitu Tuah Adzmi.

Difahamkan, sewaktu sesi rakaman lagu berkenaan juga berlaku insiden bertikam lidah dan perselisihan faham yang mengakibatkan Tajul mahu ‘angkat kaki’ lalu meninggalkan studio rakaman kerana terlalu berang dengan sikap Tuah.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Arif Noor Md. Shari, 22, berkata, dia seboleh-bolehnya enggan memperbesarkan isu tersebut namun dalam masa sama tidak mahu cerita kurang enak tentang dirinya dijaja tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Sebenarnya saya tak nak sebut tentang hal ini, sebab saya jenis yang tak suka besarkan perkara yang remeh. Tapi kalau dia masih nak bermasam muka itu hak dia. Saya lebih suka bersikap profesional.

“Ya, saya mengaku ada silap sendiri, tetapi bila dia tak nak faham keadaan saya ketika itu dan menuduh saya membuat rakaman sambil lewa, saya tidak boleh terima.

“Kebetulan saya kurang sihat dan tidak cukup tidur kerana anak saya meragam, sebab itu tumpuan dan suara saya agak kurang baik sewaktu sesi rakaman,” katanya menjelaskan situasi sebenar.

Kekal dengan prinsip profesional dan tidak mahu mencampuradukkan urusan kerja dan peribadi, Tajul tetap terus menyudahkan proses rakaman penuh single Izinkan Aku demi peminat yang menanti kemunculan lagu baharunya.

“Saya cuma minta menangguhkan sesi rakaman sebentar, tetapi dia tetap memaksa saya untuk menyelesaikan sesi rakaman.

“Malah, dia mengeluarkan kata-kata kesat yang kurang sedap didengar dan mencabar kesabaran saya. Apa-apa pun, situasi tegang itu dileraikan dengan baik oleh Pengarah Urusan FMC, Mr. Ho. Saya pun sudah meminta maaf pada Tuah.

“Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku. Mungkin salah saya juga kerana tidak dapat mengawal emosi.

“Sudah nak masuk tahun baharu, tambahan pula saya kini telah bergelar seorang ayah, jadi saya tidak mahu perkara negatif mengganggu hidup dan perjalanan kerjaya seni. Apa yang saya lakukan ini hanyalah untuk isteri dan anak saya,” tutur bapa kepada seorang puteri bernama Adriana Carisa yang berusia setahun.

Single Izinkan Aku berentak balada turut mendapat sentuhan lirik daripada Tajul. Lagu berkenaan dilancarkan di semua platform digital sejak 24 Disember lalu.

“Terima kasih pada semua peminat yang selama ini menyokong saya, moga kalian terus menyokong ayah muda ini, agar saya dapat membuktikan kepada semua bahawa tidak salah berkahwin pada usia muda asalkan rajin dan cekal bekerja demi keluarga dan anak,” tambahnya dengan penuh pengharapan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI