fbpx

Remaja ditemui mati lemas di Sungai Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengangkat mayat Amirul Mukminin yang ditemui pada pukul 7.50 pagi tadi.

KOTA BHARU – Mayat pelajar tingkatan tiga yang dikhuatiri lemas ketika sedang bermandi-manda bersama tiga rakannya di Sungai Kelantan dekat Kampung Tikat Banggol di sini petang semalam ditemui pagi tadi.

Mangsa, Amirul Mukminin Mohd. Izuha, 15, dijumpai di dasar sungai iaitu kira-kira 1.8 meter oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu kira-kira pukul 7.50 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, mayat mangsa ditemui ketika anggota PPDA melakukan selaman di di kawasan itu sebelum menemui bahagian kaki mangsa.

“Kita meminta bantuan anggota yang berada di lokasi kejadian untuk mengangkat mayat yang sudah tenggelam di dalam lumpur.

“Siasatan awal mendapati, mangsa berasal dari Kampung Binjai Baru, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini. Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zukeri berkata, anggota bomba sudah menjalankan operasi sejak petang semalam selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.

Katanya, bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat dihentikan kerana cuaca gelap, namun beberap anggota tetap ditempatkan di lokasi kejadian untuk membuat pemantauan.

Sementara itu, menurut saksi, Faris Amin Zulfadli, 16, rakannya itu dipercayai tergelincir masuk ke dalam lumpur sehingga menyebabkan dia tenggelam.

“Saya nampak tangannya terkapai-kapai meminta pertolongan. Saya cuba untuk mencapai tangannya, namun gagal. Amirul juga tidak pandai berenang.

“Pada masa sama, beberapa rakan saya yang lain juga tidak dapat menyelamatkannya kerana paras air sangat dalam ketika itu,” katanya ketika ditemubual bomba semalam.

Menurutnya, selepas gagal menyelamatkan mangsa, dia naik ke tebing sungai dan memaklumkan kejadian itu kepada penduduk sebelum menghubungi pihak bomba.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang pelajar tingkatan tiga dikhuatiti lemas ketika sedang bermandi- manda bersama rakan-rakannya petang semalam.

Amirul Mukminin dipercayai lemas di kawasan itu kira-kira pukul 6.30 petang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI