PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan habeas corpus seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan dua anggota polis berpangkat koperal berhubung tahanan reman mereka dalam Akta Pencegahan Jenayah POCA 1959.
Mereka ialah Zaidi Kanapiah, atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk Addy Kana,’ Koperal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Koperal Mohd. Hairy Mohammad, yang berusia lingkungan 34 hingga 39 tahun.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan menangguhkan keputusan selepas selesai mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak melalui prosiding dalam talian.
“Kami KIV (manangguhkan) keputusan,” katanya.
Empat lagi Hakim yang turut bersidang ialah Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Ketika prosiding, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Addy Kana dan dua anggota polis selaku perayu berhujah penahanan ketiga-tiga anak guamnya dibawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah tidak berasas, tidak mematuhi prosedur dan bersifat male fide (berniat jahat).
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti mewakili responden iaitu Asisten Superitendan Khairul Fairoz Rodzuan, Majistret Mahkamah, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia pula berhujah isu yang dibangkitkan adalah tiada merit yang mewajarkan panel untuk campur tangan dengan dapatan hakim bicara.
“Ketiga-tiga perayu yang ditahan merupakan seorang suspek dan bukan saksi,” tambahnya.
Pada 2 November lalu, Kosmo! melaporkan ketiga-tiga mereka kekal dalam tahanan reman Akta Pencegahan Jenayah POCA 1959 selama 38 hari bermula 30 Oktober sehingga 6 Disember oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas menolak permohonan yang dikemukakan ketiga-tiga pemohon.
Pada 30 November lalu media melaporkan ketiga-tiganya ditahan mengikut POCA selama dua tahun.
Semua hukuman tahanan selama dua tahun itu diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri.
Addy Kana ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah manakala dua anggota polis itu masing-masing ditahan di Penjara Bentong, Pahang dan Penjara Simpang Renggam, Johor.
Turut ditahan seorang ahli perniagaan Goh Leong Yeong atau lebih dikenali Alvin Goh. – K! ONlLINE