SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sebanyak RM96,500 bagi membantu golongan asnaf di Selangor.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pengagihan peruntukkan itu dilakukan menerusi wakalah zakat PTPTN di bawah program ‘Kasihku Zakat Selangor’ dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
Katanya, dua program bakal dilaksanakan iaitu Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) di Selangor dengan melibatkan RM50,000 kepada 500 orang anak-anak asnaf yang masing-masing akan menerima simpanan SSPN-i berjumlah RM100 setiap seorang.
Selain itu, Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah kepada seramai 155 pelajar dalam bentuk simpanan SSPN-i sebanyak RM300 setiap seorang dengan baki pecahan peruntukkan RM46,500.
“PTPTN ingin memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat akses yang terbaik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan tidak ada yang tercicir dalam pendidikan akibat masalah kewangan.
“Diharapkan dengan sumbangan kepada anak-anak asnaf ini, dapat menjadi pendorong kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh, berjaya dalam hidup sekali gus dapat keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya dalam kenyataan bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini.
Sumbangan dalam bentuk replika kad disampaikan Ahmad Dasuki kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M. Yusop.
Tambah Ahmad Dasuki, bantuan dalam bentuk akaun SSPN-i diberikan sebagai tabungan awal bagi tujuan pendidikan tinggi.”
“Dalam suasana ekonomi yang mencabar akibat Covid-19, PTPTN akan terus komited untuk merencanakan pelbagai inisiatif bantuan serta sumbangan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” jelasnya.
Sementara itu, Saipolyazan menjelaskan , ‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.
“Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan LZS.
“Sehingga November 2020, sebanyak 30 syarikat telah menyertai program itu bersama-sama LZS menyantuni asnaf melalui pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial,” katanya. -K!ONLINE