PETALING JAYA – Seorang pekerja warga asing maut akibat terjatuh dari tingkat 19 di tapak pembinaan Sunway Velocity 2 Mall, Jalan Peel Maluri, Kuala Lumpur pagi tadi.
Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Shazzuan Ramli berkata, lelaki terbabit terjatuh dari tingkat 19 bersama plat besi berukuran 8×8 kaki persegi dan menghempap kepala lori trailer yang berada di bawah.
“Di dalam kepala lori tersebut terdapat seorang lagi mangsa lelaki tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada pukul 10.43 pagi.
“Pekerja binaan yang terjatuh dari tingkat 19 telah disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), manakala mangsa yang tersepit di dalam kepala lori mengalami patah kaki diberi rawatan awal sebelum ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian itu pada pukul 10.10 pagi.
“Balai Bomba dan Penyelamat Pudu bersama balai bantuan dari Hang Tuah telah ke tempat kejadian dengan kekuatan 20 orang anggota dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. – K! ONLINE