fbpx

K2

Pasangan Gadgets World 666

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEWUJUDAN Gadgets World 666 milik Kamarulhelmy dan isteri, Siti Norlaila berjaya pecahkan monopoli bisnes aksesori telefon bimbit dan komputer yang biasanya diusahakan oleh kaum bukan bumiputera di negara ini. – Foto FAUZI BAHARUDIN

SEBUT sahaja Gadgets World 666, bayangan aneka aksesori telefon dan komputer yang tersusun kemas di rak kedai berwarna hitam merah pasti menari-nari di kotak fikiran umum.

Tidak keterlaluan jika dikatakan hampir seluruh masyarakat di negara ini mengenali kedai yang popular dengan penjualan aksesori gajet pada harga berpatutan itu.

Sudahlah harga yang ditawarkan murah, barangan yang dijual pula variasi dan berkualiti, berlainan daripada kebanyakan kedai menjual aksesori telefon pintar serta komputer yang lain.

Melihatkan keseluruhan kedai menggunakan rona hitam dan merah yang begitu sinonim dengan ramalan pembawa rezeki (ong) feng shui masyarakat Cina, ramai yang menyangka perniagaan tersebut diusahakan oleh kaum lain.

Realitinya, ia diusahakan oleh pasangan suami isteri bumiputera yang merupakan pelajar lepasan GIATMARA.

PERNIAGAAN gajet yang diusahakan Kamarulhelmy kini mempunyai 31 cawangan di seluruh negara.

Kewujudan kedai itu secara tidak langsung berjaya memecahkan tembok monopoli perniagaan aksesori telefon bimbit dan komputer yang biasanya diusahakan oleh kaum bukan bumiputera di negara ini.

“Ketika di awal perniagaan ini dijalankan, ramai yang tidak percaya ia diusahakan oleh anak muda Melayu.

“Malah, ada yang menjangkakan perniagaan ini berkemungkinan mampu bertahan enam bulan sahaja,” kata pemiliknya, Kamarulhelmy Mohd. Kamal, 33, membuka cerita.

Tidak berputus asa dengan kata-kata yang dilontarkan oleh beberapa individu terhadapnya, pemuda yang lebih mesra dipanggil Helmy terus mara ke hadapan merancang strategi perniagaan yang diusahakannya itu.

Usaha kerasnya itu ternyata membuahkan hasil dan dia mampu membuktikan kepada orang ramai apabila kini Gadgets World 666 mempunyai 31 cawangan di seluruh negara selain sebuah gudang yang terletak di Cheras, Selangor dan 180 orang pekerja.

Memulakan perniagaan yang dikenali sebagai Gadgets World 666 secara serius pada tahun 2011 di Downtown The Mines, Seri Kembangan bersama isterinya, Siti Norlaila Abd. Rahman, 33.

Anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik ini berkata, minatnya terhadap perniagaan berasaskan gajet bermula sejak kecil lagi.

“Sejak kecil lagi saya memang sukakan gajet dan berniaga sehingga orang kampung mengenali saya sebagai kaki gamer.

“Ketika itu saya menyewakan permainan Playstation kepunyaan abang kepada rakan-rakan di kampung. Daripada situ, saya terbiasa dengan perniagaan dan peralatan gajet.

“Sebaik tamat belajar di GIATMARA Cheras dalam sijil komputer selama enam bulan, saya kemudian memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya.

Bermodalkan RM500 sahaja, Helmy membuka sebuah kafe siber di Flat Seri Sabah menerusi projek inkubasi GIATMARA selama enam bulan.

Pada waktu itu, Helmy hanya menawarkan perkhidmatan servis komputer, percetakan dan membekalkan peralatan pejabat secara kecil-kecilan sahaja.

“Setiap hari selepas berniaga, kami suami isteri akan melepak di bazar malam ‘downtown’ dan ‘uptown’ sekitar Lembah Klang.

“Daripada situ, timbul ilham untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini dengan lebih serius. Justeru pada tahun 2011, kami mula membuka kedai di Downtown The Mines.

“Pada tahun itu juga, kami menjadi usahawan terbaik dalam karnival produk kemahiran sale to you anjuran GIATMARA,” ujarnya.

Rezeki pasangan suami isteri ini di dalam perniagaan tersebut terus mencurah-curah selepas insiden pergaduhan besar di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur pada tahun 2015.

KAMARULHELMY dan isteri menunjukkan sijil ikon TVET yang diterima pada tahun 2017.

Tatkala plaza tersebut diboikot angkara pergaduhan besar yang tercetus, masyarakat di negara ini mula menjadikan Gadgets World 666 sebagai alternatif untuk mendapatkan aksesori telefon dan komputer.

Hari berganti hari, perniagaan yang diusahakan semakin dikenali dan mendapat tempat di hati umum.

Lantaran itu, sedikit demi sedikit, Helmy dan Laila berjaya melebarkan lagi sayap perniagaannya dengan menambah beberapa buah cawangan lain selain membeli sebuah gudang barangan.

Lebih membanggakan apabila Helmy turut dipilih menjadi ikon Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam majlis pelancaran TVET Malaysia yang dilancarkan pada 27 September 2017 oleh Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak

Selain minat dalam dunia gajet, menurut Siti Norlaila, dia dan suami mengusahakan perniagaan tersebut kerana menyedari barangan aksesori telefon dan komputer mempunyai permintaan tinggi selari dengan trend penggunaannya masa kini.

“Ketika di awal perniagaan, saya dan suami sanggup berhujan dan berpanas menaiki motosikal ke Plaza Low Yat untuk membeli stok secara pukal.

“Walaupun pada waktu itu kami hanya berniaga di downtown, namun stok yang dibeli mencecah belasan ribu ringgit,” katanya.

Sebaik permintaan daripada umum semakin tinggi, mereka kemudian terbang ke luar negara untuk mendapatkan stok yang mana sebahagian besarnya dibeli dari China.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika produk dijual dengan harga murah dan berpatutan iaitu bermula RM1 bergantung kepada jenis barangan.

PASANGAN suami isteri ini sentiasa merancang strategi perniagaan mereka dengan teliti bagi menghadapi cabaran mendatang.

Biarpun dijual pada harga yang murah, namun terang Siti Norlaila lagi, produk-produk yang dijualnya itu berkualiti kerana mereka hanya mengambil barangan yang diyakini sahaja untuk dipasarkan di kedainya.

“Stigma masyarakat biasanya berpendapat murah adalah tidak berkualiti. Telahan tersebut salah kerana kami di sini mampu menjual barangan pada harga murah kerana kami berurusan secara terus dengan pembekal.

“Malahan, harga itu dikenakan kerana kami mahu membantu orang awam mendapatkan aksesori berkualiti, tetapi dalam masa yang sama pada harga yang berpatutan,” terang Siti Norlaila yang sanggup menghadiri kelas bahasa Mandarin demi kelancaran perniagaan yang diusahakan.

Jika dahulu Helmy hanya menjual produk dibeli daripada pembekal, namun kerja keras pasangan suami isteri itu kini membolehkan mereka turut menjual rangkaian produk menggunakan jenama sendiri.

“Bukan senang untuk berniaga. Lebih-lebih dengan situasi semasa yang mana majoriti perniagaan di seluruh dunia terjejas rentetan penularan pandemik Covid-19.

“Kami perlu sentiasa merancang strategi perniagaan dengan baik bagi memastikan ia mampu bertahan dalam membekalkan aksesori telefon berkualiti kepada orang ramai, selain para pekerja di Gadgets World 666 tidak kehilangan pekerjaan kesan daripada situasi semasa,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI