KLUANG – Dua terbunuh manakala 14 cedera termasuk dua parah dalam kemalangan membabitkan lapan buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Machap di sini petang tadi
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Wong Fok On dan Chong Wok Choo, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Difahamkan mangsa merupakan pasangan suami isteri.
Mangsa cedera parah pula masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa serta 12 mangsa yang lain termasuk dua kanak-kanak cedera ringan.
Kemalangan itu membabitkan tiga buah lori dan lima kenderaan termasuk Hyundai Elantra, Volkswagen Tiguan, Naza Citra, Perodua Bezza dan Alza.
Insiden itu berlaku berpunca daripada lori 10 tan yang disyaki mengalami kegagalan sistem brek sebelum merempuh tujuh kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat terbabit.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.46 petang.
Katanya, dua jentera bersama 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati benar berlaku kemalangan membabitkan lapan buah kenderaan.
“PKO mengeluarkan pemandu Hyundai Elantra dan penumpang belakang yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya ketika dihubungi di sini.
Punca sebenar kemalangan itu masih dalam siasatan.-K! ONLINE.