fbpx

‘Kalau saya mati siapa jaga mereka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hamidi (berbaju jingga) mengunjungi keluarga Zainah di Taman Sri Penggaram, Batu Pahat semalam.

BATU PAHAT – “Kalau boleh biar­lah Allah tarik nyawa mereka dahulu, jika mak cik yang ‘pergi’ dahulu, siapa yang mahu jaga mereka,” kata Zainah Ali, 68.

Itulah cara terbaik yang difikirkan saban hari berikutan hanya dia sahaja seorang diri menguruskan keadaan empat darah dagingnya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Zainah berkata, suaminya Mohd. Palil Abd. Rahman me­ninggal dunia akibat komplikasi sistem kumuh pada 18 Mac lalu.

Tambahnya, dia sering risau me­ngenai masa depan dua anak serta dua abangnya itu berikutan dirinya yang turut uzur kerana pe­nyakit diabetis kronik.

“Abang saya Mustapha (71) dan Salleh (66), manakala anak saya, Norul Imran (32) dan Mohamad Solehin (28) dikategorikan sebagai OKU dalam masalah pembe­lajaran semenjak dilahirkan.

“Walau sesusah mana pun, saya tetap akan menjaga mereka selagi hidup dan terdaya kerana ia merupakan amanah untuk saya menjaga darah ­daging sendiri, jika bukan saya yang menjaganya siapa lagi.

“Sekarang ini, saya hanya memikirkan kalau saya tiada kelak, siapa pula yang akan menjaga mereka,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Penggaram di sini, semalam.

Zainah berkata, buat masa ini dia hanya bergantung kepada pencen bulanan arwah suaminya sekitar RM1,000 yang sebelum ini bertugas sebagai pekerja am di sebuah agensi kerajaan.

Katanya, anak dan adik-­beradiknya itu kini terputus bantuan secara bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana gagal mengemas kini butiran peribadi setelah berpindah ke daerah ini, dua tahun lepas.

“Sebelum ini kami yang ­tinggal Kota Tinggi perlu mengemas kini lokasi kediaman terbaharu ­dengan JKM serta perlu menukar alamat dalam kad pengenalan, tetapi kami tidak mampu ke sana ke mari kena tidak upaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Kebajikan Jawatankuasa ­Penyelaras Khas Dun (JPKD) Penggaram, Mohd. Hamidi Mad Tap berkata, pihaknya akan membantu ­keluarga terbabit untuk membuat kad pengenalan yang baharu.

Bagi mereka yang ­ingin menghulurkan bantuan dan ­mengetahui lebih lanjut ­berkenaan keluarga terbabit, boleh berhubung dengan Mohd. Hamidi di talian 019 708 6716.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI