PETALING JAYA – Jabatan Kerja Raya (JKR) cawangan Kuala Langat memohon maaf kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar ekoran kemalangan melibatkan beliau semalam.
JKR melalui satu kenyataannya di laman sosial Twitternya memohon maaf di atas kejadian yang menimpa Ahli Parlimen Rembau itu di satu lokasi jalan seliaan mereka.
“JKR Kuala Langat memohon maaf ke atas kejadian yang menimpa YB menteri dan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan dan mendoakan YB cepat sembuh,” katanya dalam ciapan Twitter malam tadi.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Khairy mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan semasa menunggang basikal pada pukul 11 pagi di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting akibat terlanggar lubang yang terbentuk di jalan tersebut. – K! ONLINE.