LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mula melancarkan perang psikologi menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux awal pagi esok.
Kata bekas jurulatih Real Madrid itu, beliau menganggap Wolves sebagai antara pasukan besar dalam saingan musim ini, oleh itu kemampuan skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu tidak boleh dipandang remeh.
Spurs sebelum ini dianggap antara pencabar takhta kejuaraan apabila pernah menjadi peneraju liga, namun aksi tidak menentu sejak akhir-akhir ini menyaksikan mereka terjatuh ke kedudukan keenam.
“Saya percaya Wolves boleh dianggap antara pasukan terbaik musim ini, tidak keterlaluan jika saya katakan mereka layak berada dalam kelompok enam pasukan terbaik.
“Apa yang pasti kami bakal berdepan cabaran sukar pada perlawanan itu nanti. Ditambah pula dengan jadual padat, sudah tentu kami perlu tampilkan aksi lebih baik,” ujar pengendali dari Portugal itu.
Sementara itu, Mourinho juga menepis dakwaan yang mengatakan Spurs akan mengharungi perlawanan-perlawanan mudah selepas ini apabila bakal berdepan Fulham dan Leeds United.
“Ramai orang cakap perlawanan kami selepas ini mudah. Siapa yang cakap berdepan Wolves, Fulham ataupun Aston Villa mudah? Perlawanan itu sama seperti perlawanan-perlawanan lain,” katanya. – AGENSI