KOTA BHARU – Seorang pelajar tingkatan tiga dikhuatiri lemas ketika dia sedang bermandi-manda bersama rakan-rakannya di Sungai Kelantan dekat Kampung Tikat Banggol di sini petang tadi.
Mangsa, Amirul Mukminin Mohd. Izuha, 15, dipercayai lemas di kawasan itu kira-kira pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisional Abdul Rahim Daud berkata, sehingga kini, mangsa masih belum ditemui apabila operasi mencari dan menyelamat dihentikan kira-kira pukul 7.20 petang dan akan disambung semula pagi esok.
“Polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 6.35 petang yang melaporkan mengenai kejadian itu.
“Selepas menerima maklumat, anggota polis dan bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk untuk menjalankan operasi menyelamat mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Abdul Rahim berkata, siasatan awal, mendapati mangsa dipercayai mandi bersama beberapa rakannya di sungai berkenaan.
Katanya, mangsa dipercayai lemas sebelum rakan-rakannya cuba untuk menyelematkannya namun gagal.
Sehubungan itu, Abdul Rahim meminta orang ramai agar mengawal pergerakan anak-anak ketika musim banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. – K! ONLINE