PETALING JAYA – Penduduk di Flat Persiaran Paya Terubong, Relau, Pulau Pinang boleh menarik nafas lega selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu ditamatkan hari ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan wujudnya trend penurunan Covid-19 di lokaliti tersebut.
“Kerajaan sebelum ini telah melanjutkan PKPD di kawasan itu bermula 7 Disember 2020 dan ia dijadualkan tamat pada 31 Disember 2020.
“Pun begitu,atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD itu lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya di sini tadi.
Katanya, KKM telah selesai melaksanakan 5,585 saringan ke atas penduduk mengikut blok di lokaliti itu dan sebanyak 113 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
KKM mengesahkan kes positif Covid-19 di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel menunggu keputusan. – K! ONLINE