fbpx

Maut tergelincir dalam kolam di tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Isteri mangsa menaburkan bunga dan daun pandan di pusara arwah suaminya yang maut tergelincir ke dalam kolam di Kampung Gebok, Mantin, dekat sini, semalam.

REMBAU – Seorang pekerja penyelenggaraan maut selepas dipercayai tergelincir ke dalam kolam di tempat kerjanya di sebuah kilang ayam di Kampung Gebok, Mantin semalam.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa, Shahrun Nizam Mohamad Norman, 25, disahkan maut oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian selepas mayatnya ditemui di dasar kolam oleh pasukan bomba.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hidayat Basly, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 10.36 malam dan tiba di lokasi pada pukul 10.43 malam.

“Kita menerima maklumat terdapat seorang lelaki terjatuh ke dalam kolam yang terdapat di kilang berkenaan. Kita menggunakan Grippling Iron untuk mencari mangsa.

“Portable pump juga digunakan untuk mengepam air keluar dari kolam yang dianggarkan berkeluasan setengah padang bola dan sedalam 2.5 meter,” katanya ketika dihubungi dekat sini tadi.

Menurutnya, keadaan cuaca semasa itu hujan dan mangsa ditemui kira-kira pukul 1.48 pagi.

“Mangsa disahkan maut oleh pasukan paramedik dan diserahkan kepada pasukan polis bagi tindakan selanjutnya.

Sementara itu, ibu mangsa, Samiah Omar, 47, berkata, anak sulongnya itu merupakan seorang anak yang sangat baik, rajin serta pantas menghulurkan bantuan sekiranya diminta.

“Minta tolong apa sahaja mesti along buat, tak pernah menolak.  Walaupun masih sedih dengan kejadian ini saya bersyukur apabila urusan pengebumian arwah dapat berjalan dengan lancar walaupun di hari cuti hujung minggu.

“Selesai bedah siasat terus mandi, dikafankan dan disolatkan sekali di hospital sebelum di bawa ke Masjid Kariah Chengkau Ulu untuk disolatkan sekali lagi selepas solat Zuhor,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Batu 24 dekat sini tadi.

Samiah berkata, dia dan suami,  Mohamad Norman Bajuri, 48, bergegas ke tempat kerja anaknya dari Chengkau ke Nilai selepas solat Maghrib semalam (kelmarin) setelah menerima pesanan WhatsApp dari menantu mereka, Zakiroh Ahmad Sabri, 27, kira-kira pukul 6.30 petang.

Menurutnya, menantunya yang bekerja di kilang yang sama mulai berasa tidak sedap hati apabila suaminya masih belum lagi pulang pada lewat petang.

“Menantu meminta berpatah balik ke tempat kerja kerana ternampak sebuah kereta dengan lampu masih dihidupkan.  Bila kami sampai di lokasi dimaksudkan memang ada kereta anak kami dan pihak pengurusan kilang menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan.

Arwah meninggalkan seorang balu dan anak perempuan berusia dua tahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI