SEBERANG PERAI – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kakinya tersepit pada dahan pokok machang semasa melakukan kerja-kerja menebang pokok itu di Kampung Tun Sardon, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti, Mohd. Azam Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian yang menimpa seorang lelaki berusia 53 tahun itu pada pukul 11.43 pagi.
“Ketika ini kerja menyelamat mangsa yang tersepit pada ketinggian kira-kira 9 meter masih lagi dijalankan.
“Dia tersangkut pada bahagian kaki di celah dahan ketika melakukan kerja menebang pokok machang tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurutnya, khidmat kren terpaksa digunakan bagi menyelamatkan mangsa. – K! ONLINE