Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
BENTONG – Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Kancil dipandunya melanggar belakang sebuah lori treler di Kilometer 4 Jalan Bentong-Gombak di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu berlaku ketika mangsa K. Anantha Raj, 24, dalam perjalanan dari bandar Bentong ke arah Gombak.
“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke seberang jalan sebelum melanggar belakang lori treler yang berada di tepi jalan.
“Akibat kejadian mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan siasatan masih giat dijalankan.
“Polis meminta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Polis menasihatkan orang ramai yang memandu dan menunggang kenderaan agar sentiasa berhati-hati dan patuhi peraturan lalulintas,”ujarnya. – K! ONLINE