DHAKA, Bangladesh – Sebuah keluarga di Bangladesh menghidap sejenis penyakit genetik yang menyebabkan mereka tidak mempunyai cap jari.
Apu Sarker yang berusia 22 tahun, tinggal bersama keluarganya di sebuah kampung di daerah Natore, utara Bangladesh.
Menurut laporan Pusat Penyiaran Britain (BBC) semalam, semua lelaki dalam keluarga Apu menghidap mutasi genetik yang hanya berlaku pada segelintir keluarga di dunia dan menyebabkan mereka tidak mempunyai cap jari.
Pada zaman datuknya, tidak mempunyai cap jari bukanlah masalah yang besar.
“Saya rasa dia tidak pernah menganggapnya sebagai masalah,” kata Apu.
Namun, seiring dengan peredaran zaman, cap jari kini menjadi data biometrik yang paling banyak digunakan di dunia.
Perubahan itu mengundang masalah kepada kaum lelaki dalam keluarga Sarker.
Pada 2008, ketika Apu masih kecil, Bangladesh memperkenalkan kad pengenalan nasional untuk semua orang dewasa dan pangkalan data memerlukan cap ibu jari.
Petugas kerajaan tidak tahu bagaimana mengeluarkan kad pengenalan kepada bapa Apu, Amal Sarker. Akhirnya, dia menerima kad yang tertera ayat ‘Tiada Cap Jari’.
Pada 2010, cap jari menjadi wajib bagi pasport dan lesen memandu.
Setelah beberapa kali mencuba, Amal berjaya mendapatkan pasport dengan menunjukkan sijil perubatan.
Dia tidak pernah menggunakan pasport itu kerana takut berdepan masalah semasa di lapangan terbang.
Walaupun menunggang motosikal penting untuk kerjanya sebagai petani, Amal tidak pernah memperoleh lesen memandu.
“Saya membayar yuran, lulus ujian, tetapi mereka tidak mengeluarkan lesen kerana saya tidak dapat memberikan cap jari,” katanya.
Amal membawa resit pembayaran yuran lesen bersamanya tetapi ia tidak selalu membantunya apabila ditahan polis, malah pernah disaman dua kali.
Dia perlu menjelaskan keadaannya kepada anggota polis yang keliru dan meskipun jarinya diteliti, dia tetap disaman.
“Ini selalu menjadi pengalaman memalukan bagi saya,” kata Amal.
Pada 2016, kerajaan mewajibkan data cap jari dimasukkan ke pangkalan data nasional untuk tujuan membeli kad sim telefon bimbit.
“Mereka keliru ketika saya membeli kad sim dan komputer tiada data setiap kali saya meletakkan jari pada sensor,” kata Apu pula.
Permohonan Apu untuk membeli kad sim ditolak dan anggota keluarganya menggunakan kad sim atas nama ibunya.
Kes yang berlaku kepada keluarga Sarker itu dikenali sebagai Adermatoglyphia.
Pada 2007, ahli dermatologi Switzerland, Peter Itin dihubungi oleh seorang wanita tempatan yang menghadapi masalah memasuki Amerika Syarikat (AS).
Wajah wanita itu sepadan dengan foto di pasportnya, tetapi dia tidak mempunyai cap jari.
– Agensi.