GEORGE TOWN – Ketika orang lain ghairah membeli emas, lain pula dengan segelintir orang termasuk golongan profesional yang terpaksa menggadai barang kemas termasuk jam dan pen berjenama untuk meneruskan kehidupan di negeri ini.
Selain suri rumah, peguam, jurutera, ahli perniagaan dan pegawai anggota keselamatan antara pelanggan yang menggadaikan barang kemas ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Difahamkan, golongan peniaga turut ramai yang masuk ke pajak gadai untuk memperoleh sumber kewangan secara pantas akibat perniagaan mereka terjejas kerana pandemik Covid-19.
Tinjauan Kosmo! Ahad di daerah Barat Daya dan Timur Laut baru-baru ini mendapati, hampir semua kedai pajak menerima barangan serendah RM30 dan ke atas dengan alasan mahu membantu rakyat yang terjejas ketika ini.
Ada juga yang mengambil barang kemas yang sudah rosak dan kepingan emas kecil untuk digadaikan.
Seorang pengusaha yang mahu dikenali sebagai Chris, 38, berkata, nilai gadaian emas meningkat sehingga 15 peratus sejak dia beroperasi semula pada Ogos lalu.
“Jumlah pelanggan meningkat ketika PKPP dan PKPB walaupun nilai tidak sama dengan emas baharu. Ada daripada pelanggan merupakan kumpulan profesional selain peniaga dan pekerja kilang.
“Ini semua akibat Covid-19. Ramai hilang kerja dan cara paling mudah ialah memajak emas untuk membuka perniagaan baharu,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Tambahnya, ada seorang ahli perniagaan memajak barang berjumlah RM100,000 dan dia mengatakan wang itu untuk membiayai gaji pekerja serta membayar hutang.
Chris memberitahu, tempoh gadaian emas ialah selama enam bulan dengan faedah kurang atau tidak melebihi dua peratus sebulan.
Seorang lagi pengusaha yang mahu dikenali sebagai Tan memberitahu, selain gelang koko, pulut dakap dan biskut tawar, pelanggan turut menggadaikan jam tangan berjenama seperti Rolex dan Tag Hauer selain pen jenama Montblanc.
“Berkali-kali mereka mencium dan membelai barang itu sebelum diserahkan kepada kami,” katanya dengan nada berseloroh.
Tambahnya, ada barangan yang digadai baru dibeli pada Januari dan Februari lalu. Walaupun banyak barang yang digadai, namun keuntungan masih belum mencecah dua kali ganda.