fbpx

Cinta lokasi Kamal, Uqasha ke pelamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUBUNGAN Kamal Adli dan Uqasha kini menuju ke gerbang perkahwinan.

TREND melamar secara langsung atau terang-terangan kini seakan-akan menjadi satu kebiasaan terutama dalam kalangan selebriti tanah air.
Ahad lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan momen manis apabila pelakon Kamal Adli dengan selambanya melamar cinta hatinya, Uqasha Senrose secara terbuka di pentas Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020).

Gara-gara tindakan Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli melutut dan melafazkan lamaran buat Uqasha, semua bagaikan terkesima lebih-lebih lagi dalam kalangan peminat pasangan romantis itu.

Dihulur cincin berlian sambil dilamar Kamal, Uqasha Senrose atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen lantas menerima lamaran tersebut dengan jawapan: “Ya”.

Jika diingat semula, trend lamaran secara langsung yang dilakukan Kamal bukan pertama kali tercatat dalam lembaran sejarah pasangan selebriti di negara ini.

Lamaran secara terbuka pernah dilakukan pelakon dan pengacara Awal Ashaari terhadap Scha al-Yahya.

Tindakan Awal melamar kekasih secara langsung di set rakaman program Propaganza pada 25 Mac 2012 boleh dikatakan sebagai pencetus trend romantik tersebut.

Tidak terhenti di situ, pelakon kacak, Hairul Azreen turut mengikut jejak langkah sama apabila melamar Hanis Zalikha dalam program secara langsung iaitu semasa pentas akhir Gegar Vaganza 2015.

Sudah namanya kejutan, tindakan Kamal tidak terhidu peminat termasuk Uqasha sendiri.

SUDAH terang lagi bersuluh. Jika dahulu percintaan mereka menjadi andaian dan sebutan ramai, kini status hubungan Kamal dan Uqasha sudah diketahui umum. Ikut perancangan, mereka akan menyatu sebagai suami isteri selepas hari raya tahun depan.

Bagaimanapun, menurut pihak Astro, Kamal sudah pun berbincang dengan keluarga Uqasha bagi mendapatkan restu melakukan lamaran tersebut.

Selang beberapa hari kemudian, Kamal secara ringkas dalam Instagram melahirkan rasa teruja selepas lamarannya diterima dan menjelaskan dia hanya ingin menghalalkan hubungan bersama wanita yang bakal menjadi suri hatinya tidak lama lagi.

Sebelum ini, sama ada Kamal mahupun Uqasha, masing-masing tidak pernah mengiyakan atau menidakkan desas-desus hubungan cinta yang dikatakan terjalin di lokasi pengambaran selepas digandingkan dalam drama Setelah Terlafaznya Akad sekitar 2019.

Pada tahun ini pula, mereka sekali lagi berpasangan menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa arahan, Michael Ang.

Hubungan cinta lokasi antara Uqasha dan Kamal semakin hangat diperkatakan selepas, Michael secara bergurau mendedahkan mereka sudah menghadiri kursus praperkahwinan.

Tinggal lagi belum ada hitam putih daripada pasangan merpati dua sejoli itu.

Kahwin

Selepas melamar Uqasha menjadi isteri, hampir setiap hari Kamal dihujani pula dengan pertanyaan tarikh pernikahan.

Bagaimanapun, Kamal secara eksklusif dalam laporan Kosmo! pada 24 Disember lalu berkongsi mengenai tarikh pernikahannya yang akan akan diadakan sekitar pertengahan tahun hadapan.

“Insya-Allah majlis akan berlangsung sekitar tahun depan, selepas hari raya.

“Tarikh sebenar masih belum diputuskan, biarlah semua hanya diketahui dan diuruskan keluarga sahaja,” katanya ringkas.

Bahkan, pelakon drama Black itu turut meminta semua pihak mendoakan kebahagian dia dan Uqasha.

Membelek semula perjalanan kisah cinta mereka, pasangan itu dijangka bakal menempa populariti pada tahun 2021 dan akan menjadi perhatian umum sehingga majlis perkahwinan berlangsung.

Bahkan, penulis menjangkakan ramai pihak bakal berebut-rebut menjadi penaja bagi perkahwinan yang disebut-sebut peminat sebagai Wedding of The Year 2021.

Malahan, beberapa jenama besar seperti Swarovski sudah pun menjadikan pasangan sejoli itu sebagai model untuk beberapa rekaan barangan perhiasan.

Jadi, tidak mustahil sekiranya jenama yang pernah menjadikan Neelofa sebagai duta itu akan menaja set barangan kemas pada hari bahagia mereka nanti.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan tentang momen lamaran tersebut, masih terdapat suara-suara luar yang mengkritik dan menegur tindakan Kamal konon-kononnya bertentangan dengan budaya dan tuntutan agama.

Seorang pendakwah selebriti, Rahmat Ikhsan, ada menyifatkan trend melamar secara terbuka di hadapan khalayak ramai harus dihentikan.

“Kahwin bermaksud cantuman dua jiwa. Jadi lebih baik lamaran tersebut dilakukan dengan penuh adab iaitu majlis merisik antara dua buah keluarga.

“Lebih manis dan jika ditolak, tidaklah menanggung malu yang teruk,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI